KUCHING – Institusi pengajian tinggi Sarawak memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan, bagi menyokong aspirasi kerajaan negeri melancarkan satelit pertamanya menjelang tahun 2030.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut, penekanan terhadap kepakaran daripada pelbagai disiplin perlu diberi perhatian.
Katanya, ia tidak boleh terhad kepada bidang aeroangkasa semata-mata.
Sebaliknya, pembangunan industri satelit memerlukan penglibatan tenaga pakar daripada pelbagai cabang kejuruteraan.
Antaranya termasuk Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Perisian, Robotik, Mekatronik serta teknologi sensor.
Jelas beliau, keperluan tersebut secara tidak langsung membuka ruang kepada lebih banyak institusi pengajian tinggi tempatan untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan industri berkenaan.
Menurut beliau, ketika ini Kolej Universiti ICATS menerusi Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa telah memulakan program pengajiannya sejak setahun lalu, bagi melahirkan tenaga mahir dalam bidang tersebut.
Pada masa sama, Universiti Teknologi Swinburne Sarawak memiliki kekuatan dalam pelbagai bidang kejuruteraan yang merupakan komponen penting dalam pembangunan sesebuah satelit.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media, selepas menghadiri program perkongsian ilmu bersama jurutera aeroangkasa kelahiran Sarawak yang berkhidmat di California, di Kuching, hari ini.
Dalam sesi tersebut, beliau menegaskan bahawa pembangunan satelit merupakan satu usaha berpasukan yang memerlukan kerjasama pelbagai disiplin kepakaran.
Selain itu, pembangunan perisian satelit juga memerlukan proses yang amat teliti, termasuk ratusan jam ujian bagi memastikan setiap sistem berfungsi dengan sempurna sebelum dilancarkan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back