KOTA SAMARAHAN – Persatuan Orkid Sarawak (SARORSO) membuka ruang baharu dalam pembangunan ekonomi berasaskan biodiversiti, melalui pendekatan inovatif dengan memanfaatkan bunga orkid sebagai sumber ekonomi hijau.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, usaha sama tersebut dilaksanakan bersama kementeriannya di bawah Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS).
Menurut beliau, kementerian telah memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi program PERANTIS tahun ini, dengan 428 permohonan diterima daripada kumpulan B40.
Program itu bertujuan membina kemahiran dan membantu para peserta menjana pendapatan sendiri melalui bidang yang berpotensi tinggi.
Jelas beliau, peranan SARORSO yang menawarkan Program Pementoran Kepimpinan & Keusahawanan Wanita berasaskan orkid itu, berupaya melatih para peserta dalam aspek kepimpinan serta keusahawanan.
Melalui program itu, para peserta didedahkan dengan nilai komersial orkid sebagai produk yang berdaya saing.
Langkah itu secara tidak langsung menjadikan biodiversiti negeri sebagai aset ekonomi yang mampan, selari dengan usaha memperkasa ekonomi hijau negara.
Selain itu, gabungan elemen kepimpinan, kemahiran, dan inovasi dalam program tersebut dilihat unik yang membolehkan para peserta melihat orkid bukan sekadar tanaman hiasan, sebaliknya sebagai produk bernilai tinggi yang mampu menjadi sumber pendapatan utama.
Sebagai galakan, para peserta turut diberi peluang untuk membentangkan idea perniagaan masing-masing bagi merebut potensi geran sehingga RM50,000.
Insentif ini sekali gus merangsang inovasi dan semangat keusahawanan dalam kalangan wanita muda.
Sehubungan itu, PERANTIS dilihat sebagai satu platform strategik yang membuka jalan kepada lahirnya lebih ramai pemimpin wanita yang berdaya saing serta berdikari.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Graduasi SARORSO Kali Ke-3 2026 di Kota Samarahan, hari ini.
Majlis berkenaan meraikan para graduan daripada tiga program utama di bawah SARORSO yang melibatkan Program PERANTIS, Projek Komuniti Pemuliharaan Orkid Jumaani dan Program Mikropembiakan Orkid In Vitro Jumaani.
Back