KOTA SAMARAHAN – Kerajaan Sarawak sedang mempergiat pelaksanaan Sistem Grid Air Sarawak, bagi memastikan bekalan air yang stabil, mencukupi dan berdaya tahan di seluruh negeri.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pelaksanaan sistem itu akan menjamin bekalan air yang mencukupi untuk menampung keperluan masyarakat serta sektor industri.
Menurut beliau, antara komponen utama di bawah sistem berkenaan termasuk pembinaan loji rawatan air baharu, penaiktarafan loji sedia ada serta pemasangan rangkaian paip penghantaran utama yang menghubungkan loji-loji rawatan air di seluruh Sarawak.
Antara projek yang sedang dilaksanakan seperti pembinaan loji rawatan air baharu di Lundu dan Engkilili, pelaksanaan Serian Regional Water Supply System, serta penaiktarafan loji rawatan air di Lubau dan Kaki Wong di Bahagian Betong.
Katanya, melalui sistem grid itu, bekalan air dapat disalurkan dari satu kawasan ke kawasan lain sekiranya berlaku gangguan atau peningkatan permintaan.
Beliau berkata, hampir RM5.9 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan Sarawak Water Master Plan dan Sistem Grid Air Sarawak, selain RM1.1 bilion untuk program penggantian serta penaiktarafan paip usang di seluruh negeri bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil.
Tegas beliau, kerajaan menyasarkan keseluruhan projek tersebut siap mengikut jadual menjelang tahun 2030, sekali gus meningkatkan liputan bekalan air yang lebih stabil, berdaya tahan dan mencukupi serta menyokong pembangunan ekonomi negeri.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Tangki Aras Tinggi Taman Samarindah di Kota Samarahan, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back