LUNDU - Sebanyak RM105,500 disalurkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), asnaf serta pertubuhan kebajikan di daerah ini sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Daerah Lundu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, sumbangan itu adalah sebahagian usaha berterusan kerajaan membantu meringankan beban rakyat serta memperkasa pendidikan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, daripada jumlah itu, RM10,500 diperuntukkan kepada 21 pelajar IPT, manakala RM95,000 disalurkan kepada 13 penerima Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
Selain itu, 10 asnaf turut menerima bantuan, manakala Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) menerima RM5,000 dan Lembaga Amanah Kebajikan Islam Lundu (LAKIL) menerima RM40,000 bagi pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan.
Majlis Sambutan Maal Hijrah yang berlangsung di Kampung Stunggang Melayu Lama itu turut diserikan dengan Ceramah Perdana yang menekankan penghayatan hijrah Rasulullah SAW sebagai asas pembentukan masyarakat progresif dan harmoni.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Abang Draup, Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail serta pemimpin masyarakat setempat.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back