KUCHING - Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Batu Kawa, Chen Tzeum Ling mengesa Parti Tindakan Demokratik (DAP) supaya tidak memutarbelitkan fakta berhubung projek pembangunan bernilai RM31 juta di Batu Kawa.
Menurut Chen, dakwaan bahawa keseluruhan peruntukan projek tersebut digunakan untuk pembinaan jambatan kaca adalah tidak tepat dan mengelirukan rakyat.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, projek berkenaan merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang turut merangkumi kerja-kerja perlindungan dan pemulihan tebing sungai, manakala pembinaan jambatan kaca hanya satu komponen kecil dengan anggaran kos sekitar RM1 juta.
Katanya, sebahagian besar peruntukan akan digunakan bagi kerja penstabilan tebing sungai, penambahbaikan kemudahan keselamatan awam, landskap serta pembangunan infrastruktur berkaitan.
Chen turut berkata kawasan berkenaan pernah mengalami kejadian tebing sungai runtuh sehingga menyebabkan kenderaan terjatuh ke dalam sungai, justeru kerja pengukuhan tebing amat diperlukan.
Selain itu, beliau berharap peruntukan Ahli Parlimen Stampin dapat dimanfaatkan secara berkesan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan rakyat di kawasan berkenaan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back