KAPIT – Bahagian Kapit diiktiraf sebagai nadi pembangunan tenaga hijau Sarawak, melalui kekuatan sumber hidro yang menjadi asas kepada bekalan elektrik negeri.
Peranan itu sekali gus menyokong aspirasi Sarawak sebagai hab tenaga lestari bertaraf dunia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sumbangan penting itu disumbangkan oleh dua empangan di bahagian berkenaan yang menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri.
Dua empangan tersebut ialah Empangan Bakun dan Empangan Murum.
Menurut beliau, pengambilalihan Empangan Bakun oleh kerajaan Sarawak merupakan langkah penting yang membolehkan negeri ini mengurus sendiri sumber tenaganya.
Ia turut membuka ruang kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar pembangunan serta memaksimumkan manfaat ekonomi demi kesejahteraan rakyat Sarawak.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembangunan tenaga hidro di Sarawak kini boleh diperluaskan melalui konsep “cascading dam” serta penggunaan teknologi penyimpanan air.
Pendekatan itu membolehkan penjanaan tenaga dilakukan dengan lebih cekap dan berterusan, khususnya di kawasan berpotensi tinggi seperti Kapit.
Selain tenaga hidro, Kapit juga mempunyai potensi besar dalam pembangunan ekonomi berasaskan hidrogen, memandangkan sumber air yang banyak terdapat di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahagian Kapit merupakan penyumbang utama kepada bekalan elektrik negeri, sesuai dengan ungkapan “Kapit menyalakan Sarawak, Sarawak menyalakan Malaysia.”
Ungkapan itu mencerminkan kepentingan strategik Bahagian itu dalam landskap tenaga negeri dan negara.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Kapit, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back