KAPIT – Penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) di Kapit membuka peluang kepada penduduk setempat untuk memanfaatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan yang disediakan, sekali gus mengurangkan keperluan berurusan di lokasi yang berasingan.
Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, program itu membuktikan komitmen kerajaan dalam mendekatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat menerusi platform yang menghimpunkan pelbagai agensi di bawah satu bumbung.
Menurut beliau, pendekatan tersebut membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat, mengakses pelbagai perkhidmatan serta memohon bantuan dengan lebih mudah, cepat dan teratur.
Katanya, apabila pelbagai agensi ditempatkan di satu lokasi, rakyat hanya perlu mengunjungi kaunter yang berkaitan mengikut keperluan masing-masing.
Pendekatan itu bukan sahaja menjimatkan masa dan memudahkan urusan, malah meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan kerajaan serta memastikan pelbagai inisiatif dan bantuan dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk sekitar agar mengambil peluang sepenuhnya untuk hadir beramai-ramai, bagi memanfaatkan segala kemudahan serta perkhidmatan yang disediakan sepanjang program tiga hari itu berlangsung.
Beliau berkata demikian semasa ditemui wartawan Bilik Berita CATS, sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) Kapit, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai masa depan program tersebut, beliau berpandangan bahawa kejayaan SKS tidak seharusnya diukur berdasarkan penganjurannya semata-mata, sebaliknya melalui impak yang dibawa kepada rakyat.
Justeru, beliau menyifatkan SKS sebagai platform penting yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat dan berharap program itu dapat diteruskan serta dianjurkan dengan lebih kerap pada masa hadapan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back