KUCHING – Isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia perlu terus diberi perhatian serius, bagi memastikan mereka tidak terjerumus dalam gejala yang merosakkan masa depan mereka.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dalam melindungi golongan berkenaan.
Hal ini kerana mereka merupakan generasi pemimpin yang bakal mewarisi kepimpinan negeri dan negara pada masa hadapan.
Menurut beliau, kegagalan mengawal dan membimbing belia kini akan menyukarkan usaha melahirkan pemimpin yang berkualiti pada masa depan.
Katanya, Sarawak merupakan antara negeri yang mencatatkan indeks jenayah dadah terendah di Malaysia, sekali gus menunjukkan keadaannya masih terkawal.
Namun begitu, pelbagai usaha berterusan masih diperlukan bagi membendung isu berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berpandangan Malaysia mampu mencapai kejayaan lebih besar dalam membanteras penyalahgunaan dadah sekiranya pendekatan yang lebih tegas dilaksanakan.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan media, pada sidang media sempena Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 di Kuching, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata trend penyalahgunaan dadah kini semakin beralih kepada dadah sintetik yang lebih mudah disebarkan melalui pelbagai saluran.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan vape yang didakwa menjadi salah satu medium penyebaran bahan berkenaan.
Katanya, Sarawak kekal dengan pendirian untuk mengharamkan vape walaupun terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan langkah tersebut.
Terdapat juga pandangan bahawa aktiviti itu mungkin akan terus berlaku secara tidak sah jika diharamkan, sekali gus menyukarkan penguatkuasaan.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil apabila ia melibatkan isu penyalahgunaan dadah.
Ia termasuk pengharaman vape, di samping memperkukuh penguatkuasaan serta mengenakan hukuman terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back