KUCHING – Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 bakal mengetengahkan pelbagai pengisian dengan fokus kepada pembangunan, pemerkasaan dan pengiktirafan golongan belia di negeri ini.
Bertemakan 'Belia Aspirasi Kita' Acara tersebut akan berlangsung dari 10 hingga 16 Ogos depan di Kota Samarahan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran acara tahunan itu bertujuan mengiktiraf peranan belia sebagai pemangkin pembangunan negeri.
Menurut beliau, sambutan kali ini bukan sahaja menyediakan platform untuk mempamerkan bakat dan potensi mereka, malah membuka peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti yang bermanfaat.
Katanya, sambutan tahun ini merangkumi tiga komponen utama iaitu Youth Champion, Youth Active dan Youth Marketplace yang menekankan pembangunan kepimpinan, gaya hidup aktif serta peluang ekonomi untuk para belia.
Selain itu, pengunjung turut bakal dihiburkan dengan persembahan artis tempatan dan tanah air seperti Afiq Syazwan, Baby Shima, Mawat, Hijrah Yahya dan Firdaus Materang.
Pameran dan ekspo turut diadakan dengan penglibatan pelbagai agensi serta jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan.
Inisiatif tersebut bertujuan memberi peluang kepada golongan belia mendapatkan maklumat mengenai jawatan kosong, peluang kerjaya serta pelbagai program yang ditawarkan oleh agensi dan jabatan yang terlibat.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan lebih 7,000 pengunjung akan menghadiri sambutan berkenaan sepanjang tempoh penganjurannya.
Majlis perasmian rasmi Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 dijadual berlangsung pada 15 Ogos di Dewan Suarah Kota Samarahan dan akan disempurnakan oleh Premier Sarawak.
Acara kemuncak sambutan ialah penyampaian Anugerah Belia Sarawak yang melibatkan kategori Individu Lelaki, Individu Wanita dan Persatuan Belia sebagai penghargaan terhadap sumbangan golongan belia kepada pembangunan negeri.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026, di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back