KUCHING – Pihak penganjur perlu lebih tegas dalam setiap aspek penganjuran acara yang melibatkan aktiviti di kawasan hutan, termasuk risiko peserta tersesat.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, adalah menjadi tanggungjawab setiap penganjur untuk memastikan kejadian tidak diingini, tidak berlaku kepada peserta yang mengambil bahagian.
Menurut beliau, apabila melibatkan aktiviti di kawasan hutan, risiko tersesat sememangnya boleh berlaku.
Sehubungan itu, pihak penganjur perlu menguruskan semua aspek berkaitan dengan teliti, termasuk mengenal pasti dan menanda laluan yang akan digunakan.
Selain itu, perlu juga diwujudkan kawasan hentian bagi membolehkan pemantauan dan pencatatan kehadiran peserta, sekali gus mengurangkan risiko peserta tersesat.
Sekiranya berlaku insiden, peserta dapat dikesan melalui sistem pemantauan tersebut dan diserahkan kepada pihak profesional untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan media pada sidang media Interhash Run 2028 di Kuching, hari ini.
Terdahulu, soalan tersebut dibangkitkan berhubung kemungkinan kes peserta tersesat sepanjang laluan larian denai, untuk perhatian pihak penganjur acara berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Bersama Penganjuran Interhash 2028, Robin Kho berkata, pihak penganjur akan melantik dua orang “sweeper” bagi memastikan semua peserta berada dalam kawalan sepanjang acara berlangsung.
Bilangan “sweeper” itu dijangka akan ditambah susulan cadangan Dato Sri Abdul Karim, yang mahukan pemantauan tidak hanya tertumpu di bahagian hadapan dan belakang sahaja.
Selain itu, penganjur turut akan meletakkan penanda di sepanjang laluan larian serta memberikan taklimat awal kepada peserta sebelum acara bermula.
Para peserta juga dikehendaki melapor diri selepas selesai larian bagi membantu pengesanan keberadaan mereka berdasarkan senarai pendaftaran.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back