KUCHING – Seorang pemandu yang dipercayai melanggar sekatan jalan raya (SJR) dan memandu dalam keadaan mabuk di Jalan Padungan pada 20 Jun lalu telah didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan berkaitan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata antara kesalahan yang dikenakan terhadap individu terbabit termasuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas, melanggar sekatan jalan raya serta beberapa kesalahan lain yang berkaitan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol masih belum dapat disahkan dan sedang menunggu keputusan laporan daripada Jabatan Kimia.
Menurut beliau, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang, khususnya kesalahan memandu dalam keadaan mabuk yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
Katanya, hukuman bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol kini lebih berat, dan pihak polis akan menggunakan sepenuhnya peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan pesalah menerima tindakan sewajarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching, hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Mohamad Zainal turut memaklumkan bahawa pegawai kanan polis yang cedera akibat insiden itu, kini berada dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan keluar dari hospital.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back