KUCHING – Kerajaan sedang meneliti penambahbaikan mekanisme pelaksanaan subsidi diesel menerusi program BUDI MADANI susulan maklum balas yang diterima daripada orang ramai berhubung isu pemilikan dan penggunaan kenderaan diesel.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antara isu yang dibangkitkan melibatkan kenderaan diesel yang layak menerima subsidi tetapi didaftarkan atas nama pasangan atau individu lain.
Bercakap pada sidang media selepas Taklimat Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel di Kuching hari ini, beliau berkata situasi tersebut menyebabkan sesetengah pemohon tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.
Terdahulu, beliau memaklumkan hanya pemilik kenderaan diesel yang sah dan berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) layak membeli diesel pada harga bersubsidi menerusi program BUDI MADANI kerana kelayakan itu dipautkan terus kepada nombor kad pengenalan pemilik.
Menurutnya, mekanisme tersebut diperkenalkan bagi memastikan subsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, selain mengurangkan risiko ketirisan dan penyalahgunaan.
Bagaimanapun, Datuk Seri Amir Hamzah menegaskan prinsip asas pelaksanaan program ketika ini ialah satu kenderaan diesel hanya layak menerima satu kuota subsidi.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi mengelakkan berlakunya pertindihan tuntutan yang boleh membuka ruang kepada ketirisan dalam sistem subsidi diesel bersasar.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back