KUCHING – Penganjuran Syarahan Keris Mas disifatkan sebagai satu inisiatif penting, dalam memperkaya wacana intelektual berkaitan bidang kesusasteraan.
Ia sekali gus memperkukuh peranan sastera sebagai wahana ilmu yang relevan dalam mendepani perkembangan dunia moden.
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Anwar Ridhwan berkata, kesusasteraan perlu menjadi milik bersama masyarakat bagi menyeimbangkan perkembangan ilmu dan pemikiran.
Melalui usaha tersebut, sastera diyakini mampu menarik minat masyarakat, khususnya generasi muda, untuk lebih mendekati dunia persuratan dan budaya ilmu.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Syarahan Keris Mas Kali Ke-5 yang berlangsung di DBP Sarawak, hari ini.
Menurut beliau, penganjuran syarahan itu bersempena Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70.
Syarahan kali ini menampilkan seorang tokoh ilmuwan alam sekitar yang dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa, Profesor Emeritus Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
Menerusi syarahan bertajuk “Sastera Alam dalam Alam Sastera”, beliau menghuraikan latar belakang perkembangan sastera alam yang berbeza daripada karya sastera yang sekadar mengandungi unsur alam.
Syarahan tersebut turut mengetengahkan tema dan peranan sastera alam dalam kerangka yang lebih luas untuk melestarikan alam sekitar, di samping membantu menangani krisis perubahan iklim.
Hasil daripada siri penganjuran Syarahan Keris Mas, DBP telah menerbitkan Buku Siri Syarahan Keris Mas yang menghimpunkan kandungan syarahan daripada siri pertama hingga siri kelima.
Penerbitan tersebut menjadi sebahagian daripada korpus kajian dan dokumentasi ilmu, selaras dengan matlamat DBP untuk mencetak, menerbitkan serta membantu penerbitan pelbagai bentuk karya kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan serta bahasa-bahasa lain.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back