KUALA LUMPUR – AFFIN HWANG Investment Bank Berhad, hari ini melancarkan Pelaburan Berkaitan Ekuiti (ELI), produk pelaburan berstruktur yang direka untuk membantu pelabur mengurus risiko serta meningkatkan potensi pulangan dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.
Dalam kenyataannya, AFFIN HWANG memaklumkan, produk baharu itu menawarkan pendedahan pelaburan yang boleh disesuaikan mengikut pelbagai objektif pasaran serta profil risiko pelabur, sekali gus memperluas pilihan dalam pengurusan kekayaan.
Menurut bank itu, ELI membolehkan pelanggan menyesuaikan tahap pendedahan mereka kepada pasaran berdasarkan matlamat pelaburan masing-masing, di samping memberi peluang untuk mencapai objektif portfolio yang lebih spesifik.
Ia termasuk meningkatkan potensi pulangan, mengurus risiko penurunan nilai pelaburan serta menyasarkan pulangan yang telah ditetapkan mengikut strategi pelaburan yang dipilih.
Ketua Pegawai Eksekutif Affin Hwang Investment Bank Berhad, Hanif Ghulam Mohammed berkata, pelancaran ELI mencerminkan komitmen bank untuk menyediakan penyelesaian pelaburan yang lebih fleksibel dan memenuhi keperluan pelanggan yang berbeza.
Menurut beliau, produk tersebut membolehkan pelabur menyesuaikan pendedahan pasaran mereka berdasarkan pandangan pelaburan, tempoh pegangan dan tahap toleransi risiko masing-masing.
Katanya, dengan parameter risiko yang jelas dan potensi pendapatan yang lebih baik, Pelaburan Berkaitan Ekuiti dapat membantu pelanggan mengharungi pasaran yang dinamik dengan lebih yakin dan tepat.
Pada masa ini, ELI yang ditawarkan oleh AFFIN HWANG adalah berkaitan dengan saham individu yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada pelabur untuk mendapatkan pendedahan kepada pasaran ekuiti tempatan menerusi pendekatan yang lebih tersusun dan strategik.
Pelancaran ELI turut menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan produk berstruktur AFFIN HWANG selaras dengan pelaksanaan pelan strategik AFFIN Axelerate 2028 (AX28).
Melalui pengukuhan platform pengurusan kekayaan dan pelbagai aset, AFFIN HWANG terus menyokong teras strategik kumpulan yang merangkumi Perkhidmatan Pelanggan Terunggul, Kepimpinan Digital dan Perbankan Bertanggungjawab yang Memberi Impak.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back