KOTA SAMARAHAN – Tahun 2026 menandakan tahun bermulanya Pelan Strategik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) 2026-2030, dalam memacu kecemerlangan institusi berkenaan.
Naib Canselor UNIMAS, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, menerusi pelan tersebut, UNIMAS komited untuk melahirkan graduan yang holistik dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan.
Menurut beliau, komitmen tersebut direalisasikan menerusi kerangka 'IDEA' yang meliputi agenda menginspirasi manusia, memacu inovasi, memperluas pengaruh global, dan memperkukuh kelestarian.
Katanya, peranan UNIMAS bukan sekadar sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, malah ia merupakan sebuah ekosistem ilmu yang inklusif.
Jelas beliau lagi, mahasiswa di UNIMAS berpeluang untuk menimba ilmu bukan sahaja daripada buku teks dan kuliah, tetapi juga secara langsung daripada alam dan persekitaran.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ikrar Pelajar Baharu Pusat Pengajian Pra-Universiti (PPPU) UNIMAS di Kampus Kota Samarahan, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Prof. Dr. Ahmad Hata turut menyifatkan kumpulan pelajar baharu PPPU UNIMAS tersebut sebagai sebahagian daripada generasi penting yang bakal mencorakkan masa depan negara.
Menerusi ikrar yang dilafazkan, ia seharusnya menjadi pedoman yang membimbing para pelajar sepanjang perjalanan akademik mereka di UNIMAS.
Ujarnya, ia juga akan menjadi panduan, peringatan, dan sumber kekuatan kepada para pelajar sekiranya berdepan dengan cabaran atau ketika hampir berputus asa.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pelajar agar menghayati dan mengotakan setiap baris ikrar yang telah dilafazkan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back