SAMARAHAN - Pejabat Kebajikan Masyarakat (PKM) Bahagian Samarahan kini sedang mengesan seorang ibu kandung serta waris terdekat kepada tiga orang kanak-kanak yang dipercayai telah diabaikan dan ditinggalkan sejak tahun 2024 lalu.
Langkah pengesanan ini digerakkan secara rasmi bagi melancarkan urusan dokumentasi, perlindungan, kebajikan, serta perancangan urusan penempatan kekal masa depan kanak-kanak berkenaan di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pegawai Pelindung Kes, Rosita Binti Ramlee memaklumkan, pihaknya sebelum ini menerima aduan awam berhubung seorang kanak-kanak yang disyaki diabaikan. Siasatan lanjut kemudiannya mendapati kanak-kanak tersebut turut mempunyai dua orang adik-beradik yang lain.
Menurut Rosita, bapa kandung kepada kanak-kanak terbabit kini dilaporkan sedang menjalani hukuman penjara, manakala lokasi dan keberadaan ibu kandung mereka yang dikenali sebagai Hazimah Binti Aron masih tidak diketahui sehingga kini.
"Siasatan lanjut mengesahkan ibu kandung berkenaan telah mengabaikan serta keberatan untuk menyediakan aspek pemeliharaan, makanan, pakaian, serta tempat tinggal yang mencukupi kepada kanak-kanak sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah Perenggan 17(1)(d), Akta Kanak-Kanak 2001," jelasnya.
Tiga beradik yang terjejas dalam kes ini dikenal pasti sebagai Qaireen Zenia Amanda Binti Abdullah (14 tahun), Qariel Zafrel Ariffin Bin Zainul (11 tahun), dan Qairee Zarel Azzib Bin Zainul (8 tahun). Sebelum ini, mereka bertiga dilaporkan berada di bawah jagaan ibu saudara mereka iaitu adik kepada bapa kandung kanak-kanak berkenaan.
Bagi memastikan kebajikan, keselamatan, dan kestabilan emosi mereka terus terpelihara, satu perintah mahkamah telah diperoleh. Berkuat kuasa mulai 25 Mei 2026, ketiga-tiga beradik itu kini telah ditempatkan di bawah jagaan sementara Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) mengikut Seksyen 25(2)(b) dan Seksyen 19(2)(b) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sehubungan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memohon kerjasama penuh daripada orang ramai atau mana-mana individu yang mengenali ibu kandung atau waris terdekat kanak-kanak ini untuk tampil membantu pihak berkuasa.
Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk hadir terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Tingkat Bawah, Bangunan Residen, Kota Samarahan, Sarawak. Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Pelindung Kes, Rosita Binti Ramlee di talian 082-671191 atau menerusi alamat e-mel rasmi rositaramlee@jkm.gov.my.
Sumber: JAPEN Daerah Samarahan
Back