SELANGAU - Pembinaan bangunan baharu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Selangau yang bernilai RM35 juta merupakan satu langkah strategik kerajaan dalam memenuhi keperluan pentadbiran pendidikan yang semakin berkembang pesat di daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.59 Tamin, Christopher Gira Sambang berkata, projek berimpak tinggi tersebut bakal menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih moden, selesa, dan lengkap bagi menyokong kecekapan tugas harian warga pendidik.
Menurut beliau, kewujudan kompleks pentadbiran baharu itu amat diyakini mampu menyuntik suasana kerja yang lebih kondusif serta profesional kepada kakitangan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Sebelum ini, operasi Pejabat Pendidikan Daerah Selangau terpaksa dijalankan di premis rumah kedai yang disewa oleh pihak kerajaan.
"Walaupun fungsi perkhidmatan pendidikan terus dilaksanakan dengan baik, namun kemudahan sedia ada amat terhad dan kurang sesuai untuk menampung keperluan jangka masa panjang,” katanya ketika berucap pada Majlis Nasih Tanah Projek Pembinaan Baharu Pejabat Pendidikan Daerah Selangau, di sini, hari ini.
Tambah Christopher, fasa pembinaan pejabat baharu ini bukan sahaja memberikan keselesaan fizikal kepada warga PPD, malah menjadi pemacu utama kepada peningkatan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rangkaian sekolah, guru, pelajar, serta komuniti luar bandar di seluruh daerah Selangau.
Jelasnya lagi, projek PPD Selangau ini merupakan sebahagian daripada agenda besar pembangunan ekosistem pendidikan yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan di kawasan berkenaan.
Antara portfolio pendidikan utama yang kini sedang berjalan rancak di daerah itu termasuk pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selangau bernilai RM81 juta, Projek Gantian Baharu Asrama Lelaki, Dewan Makan serta menaik taraf sistem air terawat di SMK Ulu Balingian.
Pada masa yang sama, pihak kerajaan turut memberikan perhatian khusus terhadap usaha membina semula dan menaik taraf beberapa buah sekolah rendah yang daif dan memerlukan kemudahan asas lebih baik seperti SK Sungai Sepiring, SK Batu 36, SK Dijih, dan SK Penghulu Imban.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta; Pegawai Daerah Selangau, Yalin Assan yang mewakili Residen Bahagian Sibu, serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Selangau, Joanes Tulang.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak
Back