KUALA LUMPUR - Skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya, mencatatkan peningkatan positif apabila naik dua anak tangga ke kedudukan ke-136 dunia dalam ranking terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Berdasarkan statistik kemas kini rasmi tersebut, Harimau Malaya kini mengumpul sebanyak 1086.22 mata, membaiki kedudukan berbanding tangga ke-138 dunia yang diduduki pada penilaian sebelum ini.
Uniknya, lonjakan dua anak tangga ini dibantu sepenuhnya oleh kedudukan dan prestasi semasa pasukan negara lain seperti India dan Latvia. Hal ini kerana skuad negara tidak terlibat dalam sebarang aksi perlawanan kompetitif sepanjang jendela antarabangsa yang lalu.
Dalam pada itu, peta kekuatan bola sepak di rantau Asia Tenggara memperlihatkan Thailand masih kekal gah sebagai pasukan terbaik di rantau ini dengan menghuni ranking ke-94 dunia.
Kedudukan tersebut kemudiannya diikuti oleh Vietnam di tangga ke-99, Indonesia di tempat ke-118, dan Filipina yang berada tipis di atas Malaysia iaitu di kedudukan ke-135 dunia, manakala Singapura pula berada di tangga ke-148 dunia.
Bagi saingan peringkat zon Asia pula, skuad negara matahari terbit, Jepun terus konsisten menguasai kedudukan nombor satu Asia dengan berada di ranking ke-18 dunia. Kedudukan elit zon Asia itu disusuli rapat oleh Iran di tempat ke-20 dunia dan Korea Selatan di tangga ke-25 dunia.
Sumber: BERNAMA
Back