PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini secara rasmi menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai, manakala PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun memaklahumkan tarikh penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 27 Jun manakala bagi Negeri Sembilan pula pada 18 Julai. Sementara itu, tarikh pengundian awal bagi Johor ditetapkan pada 7 Julai dan Negeri Sembilan pada 28 Julai.
Menurut Ramlan, tempoh berkempen bagi kedua-dua PRN ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehinggalah jam 11.59 malam sebelum hari pengundian. Kos pelaksanaan bagi PRN Johor dianggarkan berjumlah RM86.8 juta melibatkan 2.70 juta pengundi, manakala Negeri Sembilan dianggarkan bernilai RM80.6 juta dengan 867,151 pengundi yang layak.
Bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada hari pengundian, SPR mengingatkan para pengundi agar membuat semakan maklumat pusat mengundi, saluran, dan nombor bilangan melalui portal rasmi mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau menghubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7218.
"Bagi urusan undi pos, permohonan kategori dalam dan luar negara untuk PRN Johor telah dibuka sejak 5 Jun lepas, manakala bagi Negeri Sembilan ia bermula pada hari ini," jelasnya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR hari ini.
Tarikh tutup permohonan undi pos bagi Kategori 1A (petugas pilihan raya, anggota polis, tentera dan media) ditetapkan pada 24 Jun bagi Johor dan 15 Julai untuk Negeri Sembilan. Bagi Kategori 1B (warganegara Malaysia di luar negara) dan 1C (agensi atau organisasi), tarikh tutup adalah pada 19 Jun untuk Johor dan 10 Julai bagi Negeri Sembilan.
Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang mempunyai 56 kerusi telah dibubarkan secara rasmi pada 1 Jun lepas, diikuti pembubaran DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi pada 5 Jun lalu selepas mendapat perkenan pihak istana negeri masing-masing.
Sumber: BERNAMA
Back