KUCHING - Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) hari ini secara rasmi menerima pembayaran balik dividen pertama berjumlah RM908,107.76 hasil pemeterian Perjanjian Beneficiary Share Transfer and Dividend Repayment bersama Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB).
Majlis penyerahan perjanjian serta replika cek simbolik berkenaan telah disaksikan oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi LAKMNS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Lembaga Amanah LAKMNS, Dato Hajjah Hanifah Hajar Taib sebelum menghadiri Mesyuarat Ahli-Ahli Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak Ke-58 (1/2026).
Sumbangan dan pulangan dividen ini disifatkan sebagai satu platform penting dalam memperkukuh jalinan hubungan strategik antara LAKMNS dan LAKIB, sekali gus menyokong penuh aktiviti pembangunan serta agenda pengimarahan masjid di bumi Sarawak. Ia juga memperlihatkan komitmen berterusan kedua-dua pihak terhadap pembangunan sosial serta keagamaan komuniti setempat.
Selesai majlis penyerahan, LAKMNS meneruskan mesyuarat berkala bagi membincangkan beberapa agenda utama organisasi. Antara yang diteliti termasuk pengesahan minit mesyuarat lalu, laporan status kewangan, serta perkembangan terkini melibatkan projek dan pelaburan di bawah pengurusan portfolio LAKMNS. Perancangan menyeluruh bagi tahun hadapan turut dibahas bagi memperkasa fungsi serta tadbir urus badan amanah tersebut.
Untuk rekod, LAKMNS merupakan sebuah badan amanah Islam yang memainkan peranan penting dalam menguruskan hal ehwal kebajikan ummah di Sarawak.
Fungsi terasnya merangkumi tadbir urus Masjid Negeri Sarawak dan Masjid Bandaraya Kuching, pengurusan jenazah menerusi Kompleks Raudhatul Sakinah dan sistem e-Cemetery, serta penyediaan portfolio pendidikan awal kanak-kanak melalui Tadika Tahfiz TATTARY yang menggabungkan elemen hafazan dan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan.
Sumber: FB Hanifah Hajar Taib
Back