SARATOK - Aktiviti lumba motosikal haram yang mengganggu ketenteraman penduduk di Kampung Pagan di sini membawa padah, apabila tiga lelaki termasuk dua remaja ditangkap pihak polis petang semalam 11 Jun 2026.
Tangkapan tersebut dilakukan dalam satu Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah bersasar yang digerakkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie menerusi satu kenyataan media mengesahkan, dua remaja berkenaan ditahan bersama seorang lagi lelaki tempatan berusia 22 tahun selepas didapati terlibat dalam perlumbaan motosikal di kawasan terbabit.
"Dalam operasi selama dua jam yang bermula pada jam 5.00 petang itu, pihak polis turut mengeluarkan sebanyak 10 keping saman atas pelbagai kesalahan serta bertindak menyita tiga buah motosikal yang digunakan suspek," katanya.
Menurut Mathew, seramai 35 individu dan 30 buah kenderaan telah diperiksa secara menyeluruh sepanjang pelaksanaan operasi yang membabitkan kekuatan 11 pegawai dan anggota IPD Saratok.
Beliau menambah, fokus utama operasi kali ini diberikan kepada kawasan Kampung Pagan serta beberapa buah kampung berdekatan ekoran menerima aduan dan rungutan daripada orang awam mengenai aktiviti tunggangan berbahaya.
Langkah pencegahan secara bersasar ini merupakan komitmen berterusan pihak polis dalam usaha menurunkan kadar kes jenayah indeks, terutamanya di kawasan titik panas (hot spot) di bawah zon pentadbiran IPD Saratok demi keselamatan komuniti setempat.
Sumber: IPD Saratok
Back