BETONG - Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong berjaya memberkas seorang lelaki tempatan yang didapati memiliki dadah dalam operasi Ops Tapis Khas semalam, 11 Jun 2026.
Tangkapan tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Betong, DSP Wan Mohamad Ali bin Wan Malek dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada jam 4.00 petang Khamis.
Menurut beliau, suspek yang berusia 37 tahun itu ditahan di kawasan Betong pada 11 Jun 2026, sekitar jam 2.00 petang selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.
"Suspek kemudiannya dibawa balik ke IPD Betong untuk tindakan lanjut. Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine," katanya.
Hasil semakan lanjut ke atas rekod lampau suspek juga mendapati bahawa dia mempunyai sejarah kesalahan berkaitan jenayah dadah sebelum ini.
Kes kini sedang disiasat di bawah dua seksyen di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Bagi kesalahan di bawah Seksyen 12(2), suspek boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun sekiranya sabit kesalahan.
Manakala bagi siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama, pesalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM5,000 atau berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun.
Sehubungan itu, DSP Wan Mohamad Ali menegaskan bahawa pihak IPD Betong memandang serius isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat. Beliau turut menyeru warga Betong agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak polis di talian 083-472345 bagi membantu membanteras gejala ini.
Sumber: IPD Betong
Back