KUCHING - Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam transformasi industri bagi memperkukuh daya saing ekonomi dan mencapai matlamat kelestarian jangka panjang di pasaran global.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pasaran dunia hari ini tidak lagi bersaing dari segi harga semata-mata, sebaliknya meletakkan penekanan yang lebih besar kepada kaedah produk itu dikilang, termasuk intensiti karbon dan pematuhan standard alam sekitar.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pelancaran Kluster Industri Peralihan atau Bintulu Transitioning Industrial Cluster (TIC): “Kluster Industri dalam Era Tenaga Seterusnya” di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pagi tadi.
Menurut Abang Johari, TIC Bintulu berfungsi sebagai platform strategik untuk mempercepatkan peralihan industri, meningkatkan daya saing, serta meletakkan Sarawak di barisan hadapan pembangunan industri generasi baharu.
"Mengapa Bintulu? Kerana di sinilah kekuatan industri Sarawak bertemu dengan cita-cita masa depannya. Bersama-sama dengan Samalaju, ia membentuk salah satu koridor tenaga dan industri yang paling strategik di Asia Tenggara," jelas beliau.
Tambahnya, Bintulu sekian lama menjadi batu asas kepada perjalanan industrialisasi Sarawak melalui kewujudan salah satu kompleks gas asli cecair (LNG) terbesar di dunia yang menghubungkan sumber dan eksport negeri ke pasaran antarabangsa.
Melalui asas kukuh itu, Sarawak meluaskan agenda industrinya menerusi Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dengan membangunkan Samalaju sebagai hab industri intensif tenaga utama termasuk pengeluaran aluminium, ferroaloi, petrokimia, dan pembuatan maju.
TIC Bintulu diwujudkan sebagai platform kolaboratif yang menyatukan pihak industri, kerajaan, pembiaya, dan rakan teknologi di bawah satu visi bersama untuk memacu agenda kelestarian Sarawak.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak
Back