SERIAN - Tindakan dua lelaki tempatan menanam dan memproses pokok ketum di kawasan kediaman sendiri mengundang padah apabila mereka dicekup pihak polis dalam serbuan di Kampung Seniawan, Serian lewat malam tadi (10 Jun 2026).
Serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian itu berjaya menahan dua suspek yang masing-masing berusia 34 dan 53 tahun.
Menurut kenyataan media Ketua Polis Daerah Serian, kedua-dua suspek ditahan selepas didapati memiliki cecair yang disyaki air ketum. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bekalan ketum berkenaan dipercayai ditanam sendiri oleh suspek di kawasan sekitar rumah tempat tinggal mereka.
Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Jika sabit kesalahan, suspek boleh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, pihak PDRM khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Serian menegaskan bahawa tindakan yang lebih tegas akan diambil ke atas mana-mana pengedar serta pengguna dadah tegar yang berulang.
Pesalah berulang boleh dituduh di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun, serta hukuman sebatan sehingga tiga kali.
Sehubungan itu, pihak polis meminta orang ramai terutamanya komuniti di daerah Serian yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah dan ketum untuk segera menyalurkannya kepada pihak berkuasa demi memastikan kawasan luar bandar Sarawak bebas daripada ancaman najis dadah.
Sumber: fb IPD Serian
Back