KUALA LUMPUR – Keunikan gastronomi Sarawak dan Sabah terus diangkat sebagai antara produk pelancongan yang berpotensi menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chiew Choon Man berkata, menerusi promosi Flavour of Sabah Kaamatan and Taste of Sarawak Gawai 2026 yang berlangsung di ibu negara, ia membuktikan peranan penting budaya dan warisan kulinari Borneo dalam memperkukuh sektor pelancongan negara.
Menurut beliau, program berkenaan mencerminkan usaha berterusan industri pelancongan untuk mengetengahkan kepelbagaian gastronomi Malaysia sebagai antara tarikan utama kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
Katanya, usaha tersebut bukan sahaja memperkayakan produk pelancongan negara, malah meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya yang menjadi identiti Malaysia.
Beliau berkata, sambutan Gawai dan Kaamatan yang sinonim dengan masyarakat di Borneo itu, turut menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan warisan kulinari unik yang diwarisi turun-temurun.
Sehubungan itu, MOTAC melalui Tourism Malaysia akan terus mempergiat usaha mempromosikan pengalaman budaya dan gastronomi tempatan sebagai antara komponen utama dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurutnya, inisiatif sedemikian bukan sahaja membantu memperkukuh industri pelancongan negara, malah membuka peluang ekonomi kepada pengusaha makanan, penggiat budaya dan komuniti tempatan.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan promosi berkenaan di ibu negara, malam tadi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back