SEOUL – Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelaburan berteknologi tinggi, menerusi kerjasama strategik dengan pemain utama industri semikonduktor Korea Selatan.
Tujuannya bagi mempercepatkan pembangunan ekosistem semikonduktor negeri.
Delegasi Sarawak yang diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, telah mengadakan beberapa perbincangan strategik dengan syarikat-syarikat semikonduktor terkemuka di negara itu.
Antara yang terlibat ialah Korea Semiconductor Industry Association (KSIA), InterVest Co., Ltd., Mobilint dan Soteria.
Kesemua perbincangan tersebut bertujuan mempromosikan peluang pelaburan dalam sektor pembuatan maju di Sarawak, dengan tumpuan khusus kepada industri semikonduktor serta perkhidmatan digital.
Siri perbincangan itu selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dan mencerminkan aspirasi Sarawak untuk mencapai status ekonomi maju serta berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Matlamat tersebut akan dipacu menerusi pelaksanaan inisiatif ekonomi baharu yang berteraskan data, teknologi dan inovasi.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back