KUCHING – Sambutan Gawai terus diperkasa sebagai antara produk pelancongan budaya utama Sarawak, apabila Tourism Malaysia Sarawak memanfaatnya untuk diperkenalkan kepada pelawat domestik dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, Rubiah Tul'Adawiyah Md Yusof berkata, pelbagai program telah dirancang sepanjang tahun ini bagi memperkukuh promosi pelancongan negeri.
Menurut beliau, setiap program berkenaan akan diumumkan secara berperingkat, sebagai sebahagian daripada usaha merancakkan kempen TMM2026 di Sarawak.
Beliau berkata demikian kepada media semasa menyambut ketibaan pelawat sempena sambutan Gawai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hari ini.
Beliau berkata, program tersebut merupakan antara inisiatif Tourism Malaysia Sarawak untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya Malaysia, khususnya tradisi masyarakat Dayak yang menjadi identiti unik negeri ini.
Katanya, perayaan Gawai bukan sahaja signifikan kepada masyarakat tempatan, malah mempunyai potensi besar sebagai produk pelancongan budaya.
Selain daripada program itu, pihaknya juga akan menganjurkan Rumah Terbuka Gawai 2026 yang dijadual akan diadakan esok di Bintulu dan di Sibu pada Rabu.
Kedua-dua program berkenaan akan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing.
Jelas beliau, usaha berterusan untuk mengetengahkan keunikan budaya tempatan, <span;>membantu mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan tradisi.
Ia menjadi antara komponen penting dalam memperkukuh daya tarikan Malaysia sempena TMM2026.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back