SEOUL - Bakat berkemahiran tinggi dalam bidang strategik amat penting bagi menyokong pembangunan industri masa depan serta memperkukuh daya saing Sarawak di peringkat global.
Antara bidang yang dikenal pasti termasuk teknologi, penyelidikan, kejuruteraan, inovasi dan keusahawanan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, keperluan terhadap tenaga mahir akan terus meningkat selaras dengan usaha kerajaan negeri mempercepatkan transformasi ekonomi menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).
Menurut beliau, pelbagai industri bernilai tinggi seperti tenaga hijau, teknologi digital, aeroangkasa, pembuatan termaju, infrastruktur pintar dan industri semikonduktor kini sedang dibangunkan.
Seiring Sarawak bergerak ke arah industri berteknologi tinggi dan masa depan, peluang pekerjaan yang tersedia di negeri ini akan terus bertambah.
Katanya, pada tahun-tahun yang akan datang, Sarawak terus memerlukan lebih ramai jurutera, saintis, penyelidik, pakar teknologi, usahawan dan inovator untuk menyokong ekosistem teknologi tinggi yang semakin berkembang.
Beliau berkata demikian pada sesi libat urus bersama Persatuan Pelajar Malaysia Korea di Seoul, Korea Selatan, semalam.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back