KUCHING - Pameran Latihan dan Kerjaya Sarawak (SCat Fair) edisi ke-12 tahun ini menyasarkan lebih 25,000 pengunjung fizikal serta lebih 100,000 tontonan dalam talian di seluruh Sarawak.
Program anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) dengan kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) itu turut mendapat sokongan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata SCaT Fair dijadual berlangsung pada 6 dan 7 Jun depan di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), Kuching bermula jam 8.30 pagi hingga 5 petang.
Bercakap pada sidang media di TEGAS Digital Village di Kuching hari ini, beliau berkata penganjuran pameran itu tahun ini bakal menghimpunkan lebih 50 pempamer terdiri daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pemain industri, agensi kerajaan, institusi TVET, organisasi latihan serta penyedia bantuan kewangan pendidikan.
Menurut beliau, pameran itu berfungsi sebagai pusat sehenti kepada pelajar, belia, ibu bapa dan masyarakat untuk mendapatkan maklumat berkaitan peluang pendidikan, kerjaya, bantuan kewangan pendidikan serta pembangunan kemahiran.
Selain meningkatkan kebolehpasaran graduan dan belia, tegasnya, SCaT Fair juga dilihat mampu memupuk minat pelajar sekolah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Tahun lepas, Dato Sri Roland Sagah memberitahu pameran itu berjaya menarik lebih 30,000 pengunjung sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan dan kesiapsiagaan tenaga kerja.
Penganjuran SCaT Fair selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan dan pemerkasaan tenaga kerja masa depan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back