BINTULU - Sarawak mahu meneroka pembangunan teknologi panel solar baharu yang mampu membekalkan tenaga sehingga 12 jam tanpa memerlukan sokongan bateri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ketika ini kebanyakan panel solar hanya mampu menyimpan dan membekalkan tenaga sekitar empat jam sebelum perlu disokong oleh sistem penyimpanan bateri atau Battery Energy Storage System (BESS).
Menurut beliau, Sarawak memiliki sumber bahan mentah seperti silika dan silikon yang boleh diteroka bagi menghasilkan teknologi tenaga baharu berasaskan semiconductor serta solar berkapasiti tinggi.
Katanya, jika teknologi itu berjaya dibangunkan, Sarawak tidak lagi terlalu bergantung kepada bateri dan ia berpotensi menjadi pembekal tenaga utama pada masa depan.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta pasukan penyelidik fakulti kejuruteraan universiti berkenaan bagi meneroka teknologi tersebut.
Datuk Patinggi Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang di Bintulu hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back