BINTULU - Kerajaan Sarawak akan melaksanakan pembesaran Kampung Nyalau di Samalaju sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan baharu yang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan sosial di kawasan Bintulu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan itu tidak akan menjejaskan penduduk asal kampung sebaliknya memberi manfaat ekonomi lebih besar kepada komuniti setempat.
Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang di Bintulu hari ini, beliau berkata kawasan Kampung Nyalau akan diperluaskan dan dibangunkan secara terancang menerusi pelaksanaan pelan induk yang menghubungkan pembangunan Jepak sehingga ke Tatau.
Jelasnya, penduduk kampung masih kekal di kawasan mereka, tetapi kerajaan negeri akan menyediakan kemudahan moden yang lebih baik termasuk infrastruktur dan kemudahan sosial.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Johari memberitahu pembangunan itu akan mewujudkan sebuah bandar baharu yang merangkumi kawasan perumahan mampu milik, lot komersial, pejabat dan kemudahan sokongan bagi memenuhi keperluan komuniti serta pelabur di Bintulu.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pembangunan tersebut dirancang supaya tidak menjejaskan identiti dan kehidupan masyarakat kampung sedia ada.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back