KUCHING - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak menerusi Unit Operasi JPJ Kuching bertindak menyita dua buah kenderaan mewah selepas dikesan melakukan pelanggaran peraturan dalam operasi khas, Ops Luxury, di sekitar bandar raya ini pada Khamis 21 Mei.
Operasi pemantauan berbentuk rondaan taktikal itu bertujuan mengesan pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan asas pemilikan kenderaan motor tanpa mengira status atau segmen pasaran kenderaan berkenaan.
Jurucakap JPJ Sarawak memaklumkan, dalam rondaan tersebut, anggota penguat kuasa telah menahan dan memeriksa dua buah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) premium jenis Toyota Alphard serta Toyota Lexus RX200T.
"Hasil semakan dokumentasi secara digital di lapangan mendapati kedua-dua kenderaan mewah tersebut sedang beroperasi di atas jalan raya dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan serta perlindungan insurans pihak ketiga yang telah tamat tempoh sah.
"Susulan kegagalan pemilik mengemukakan dokumen mandatori itu, tindakan sitaan serta-merta ke atas kedua-benar kenderaan telah diambil selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang sedang berkuat kuasa," menurut kenyataan itu.
Pihak JPJ Sarawak turut menegaskan bahawa status kewangan atau jenis kenderaan berprestasi tinggi bukan satu tiket atau alasan untuk meminggirkan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang.
Sumber: fb JPJ Negeri Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #JPJSarawak #OpsLuxury #JPJKuching #PatuhUndangUndang
Back