KUCHING - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Johari Tun Openg memberikan bayangan jelas bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bakal diadakan dalam tempoh yang terdekat.
Walau bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan tarikh mutlak pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, sebaliknya sekadar mengingatkan bahawa tempoh mandat bagi kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada waktu ini berbaki sehingga Februari 2027.
"Saya pun tidak tahu bila pilihan raya namun yang saya tahu tempoh kita (kerajaan) sehingga bulan dua (Februari), tapi dekat nak ada sebenarnya. Dekat nak ada tapi saya belum tahu bila ‘beduk berbunyi’," katanya semasa menyampaikan amanat utama pada Majlis Gabungan Parti Sarawak (GPS) Backbenchers Night yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negeri, malam Rabu 20 Mei.
Dalam ucapan yang sama, Abang Johari turut menzahirkan kebimbangan beliau terhadap landskap politik di Semenanjung Malaysia yang disifatkannya sebagai berpecah-belah, sehingga berisiko menggugat kestabilan makro negara serta mencetuskan pelbagai polemik rantaian.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh kepimpinan dan jentera parti komponen GPS agar terus mengekalkan perpaduan utuh, menolak sebarang bentuk budaya politik berpecah-belah, serta kekal fokus dalam memelihara kebajikan rakyat di peringkat akar umbi.
Jelasnya, langkah tersebut penting bagi memastikan GPS kekal sebagai benteng terkuat dalam mempertahankan hak, kedaulatan, dan kestabilan ekonomi Sarawak.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PRNSarawak #AbangJohari #GPSBackbenchersNight #InfoSarawak2026
Back