KUCHING - Projek pembinaan Pusat Kanser Sarawak yang amat dinantikan kini secara rasminya telah memasuki peringkat perolehan tender bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), dengan sasaran penganugerahan kontrak menerusi pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) pada suku pertama tahun 2027.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, memaklumkan bahawa walaupun garis masa asal tempoh pembinaan projek berkapasiti 310 katil ini adalah selama lima tahun, beliau telah menggesa JKR Persekutuan untuk mempercepatkan proses pelaksanaan fizikal agar ia dapat disiapkan lebih awal, iaitu menjelang tahun 2030.
"Saya telah menggesa JKR Persekutuan supaya mempercepat projek ini dengan sasaran siap menjelang 2030," jelas beliau yang juga merupakan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementerian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, semalam 19 Mei.
Dalam pada itu, Dr Sim turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak yang telah meluluskan peruntukan dana pendahuluan sebanyak RM1 bilion bagi membiayai projek kritikal ini terlebih dahulu sebelum dibayar balik oleh Kerajaan Persekutuan kelak.
Di samping itu, Kerajaan Negeri juga turut meluluskan dana tambahan melebihi RM500 juta bagi memastikan perolehan dan kelengkapan peralatan perubatan bertaraf tinggi untuk pusat rawatan tersebut dapat disediakan dengan lancar.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PusatKanserSarawak #DrSimKuiHian #DUNSarawak
Back