KUCHING - Persiapan bagi penganjuran temasya sukan dwitahunan berprestij, Sukan SEA 2027 di Sarawak\berjalan lancar dan kekal berada pada landasan garis masa strategik yang telah ditetapkan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, memaklumkan sebanyak 22 jawatankuasa kerja operasi utama telah ditubuhkan.
Beliau berkata portfolio jawatankuasa komprehensif ini merangkumi pengurusan teknikal, infrastruktur, penginapan, pengangkutan, perkhidmatan perubatan, keselamatan, media, serta penyelarasan sukarelawan demi memastikan kelancaran penganjuran.
"Sarawak diberikan tanggungjawab besar untuk menjadi tuan rumah bagi Majlis Perasmian Sukan SEA 2027 yang dijadualkan berlangsung pada 18 September 2027 di Stadium Sarawak. Selain itu, Sarawak bakal menjadi hos bagi 17 daripada 38 jenis sukan yang akan dipertandingkan, antaranya sukan akuatik, e-sukan, golf, tenis, muay thai, gimnastik, wushu, dan memanah,"katanya.
"Bagi menyokong keperluan penganjuran ini, kerja naik taraf bagi 11 kemudahan Sukan SEA telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dan sedang berjalan mengikut jadual," jelas beliau ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Selasa 19 Mei.
Menurutnya lagi, kesemua 11 kemudahan ikonik, termasuk Pusat Akuatik Pandelela Rinong dan Stadium Perpaduan, disasarkan siap serta beroperasi sepenuhnya pada suku pertama dan kedua tahun 2027.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #SukanSEA2027 #SarawakHosSukanSEA #AbdulKarimHamzah #DUNSarawak #InfoSukanSarawak
Back