KUALA LUMPUR - Skuad sepak takraw kebangsaan berjaya mengukir sejarah baharu selepas dinobatkan sebagai juara sulung acara kuadran pada saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, malam tadi 19 Mei.
Dalam aksi final yang penuh bertenaga, Malaysia berjaya mengatasi cabaran hebat daripada pasukan India dengan kemenangan 2-0. Kejayaan ini disaksikan oleh kira-kira 3,000 penonton tempatan yang hadir memberikan sokongan luar biasa di stadium yang terkenal dengan jolokan Home of Sepak Takraw itu.
Skuad kendalian ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun, yang dibarisi oleh Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Amirul Zazwan Amir, dan Aidil Aiman Azwawi pada mulanya bermula agak goyah di awal set pertama ekoran beberapa kesilapan teknikal sehinggakan India mendahului 4-0.
Bagaimanapun, gandingan negara mempamerkan kebangkitan kemas untuk mengikat kedudukan 5-5 sebelum menoktahkan set pertama dengan kemenangan sengit 17-15.
Memasuki set kedua, Malaysia beraksi dengan tahap keyakinan yang lebih tinggi bagi memberikan tekanan fizikal kepada barisan pemain India yang diwakili oleh Ram Kumar Sharma, Yunam Akash, Bobby Kumar, dan Sorokhaibam Malemnganba Singh.
Skuad negara mengawal rentak permainan dengan mendahului 10-7 sebelum menamatkan sisa perjuangan India dengan mata 15-10, sekali gus mengesahkan gelaran mutlak sebagai Raja Dunia bagi acara kuadran pada edisi kejuaraan berprestij kali ini.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile PialaDuniaSepakTakraw2026 #MalaysiaJuara #RajaKuadran #InfoSukanKini
Back