KUCHING – Festival Maal Hijrah 1448H/2026M dijangka mengekalkan skala penganjurannya seperti edisi terdahulu, meskipun lokasi penganjuran tahun ini bertukar.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS), Datuk Abdul Hadi Abdul Kadir berkata, pertukaran lokasi itu dibuat berikutan lokasi asal iaitu Masjid Jamek Negeri, sedang menjalani proses naik taraf.
Bagaimanapun, beliau melihat perubahan tersebut dari sudut positif kerana ia membuka peluang kepada lebih ramai penduduk sekitar untuk turut serta dalam acara tahunan berkenaan.
Menurut beliau, lebih 25 aktiviti melibatkan pelbagai lapisan masyarakat akan diadakan, bagi memeriahkan sambutan tahun baharu Hijrah kali ini.
Sehubungan itu, pihaknya menjangkakan lebih 10 ribu pengunjung akan menghadiri festival berkenaan, namun optimis jumlah tersebut mampu melepasi pencapaian tahun lalu yang merekodkan kehadiran 15 ribu pengunjung.
Festival Maal Hijrah 1448H/2026M akan berlangsung di Dewan Serbaguna Taman Sukma, Kuching, dari 12 hingga 21 Jun depan.
Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Maal Hijrah 1448H/2026M di Kuching, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back