KUCHING – Industri pelancongan Sarawak terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila berjaya menjana penerimaan pelancongan sebanyak RM3.15 bilion dalam tempoh suku pertama tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian itu seiring dengan peningkatan jumlah ketibaan pelawat ke Sarawak yang mencecah 1.24 juta orang setakat 3 bulan pertama 2026.
Menurut beliau, angka tersebut mencatat peningkatan sebanyak 4.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ia sekali gus mencerminkan keyakinan pelancong terhadap Sarawak sebagai destinasi pilihan di rantau ini.
Katanya, rantau Asia kekal menjadi penyumbang terbesar pelawat ke Sarawak dengan menyumbang 52.6 peratus daripada keseluruhan ketibaan pelawat.
Daripada jumlah itu, sebanyak 48.8 peratus terdiri daripada pelawat dari negara-negara ASEAN, manakala pelancong domestik pula menyumbang 45 peratus daripada jumlah itu.
Dalam pada itu, momentum positif itu juga turut merangsang pertumbuhan ekonomi negeri menerusi perbelanjaan pelancong dalam pelbagai sektor berkaitan.
Tambahnya, pencapaian tersebut didorong oleh kepelbagaian produk pelancongan Sarawak termasuk eko-pelancongan, seni, budaya dan warisan yang terus mendapat perhatian pelawat tempatan serta antarabangsa.
Sehubungan itu, kementeriannya akan terus komited memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama, menerusi pelaksanaan strategi promosi dan pemasaran yang lebih agresif serta berimpak tinggi.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada sesi penggulungan kementeriannya sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back