BINTULU - Tahap kesiapsiagaan penganjuran Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Bintulu kini berada pada fasa pengukuhan akhir menjelang tarikh pelaksanaan rasmi yang dijadualkan bermula 22 hingga 24 Mei ini.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, pada Isnin 18 Mei telah mengetuai satu lawatan kerja strategik ke beberapa lokasi tumpuan utama sekitar bandar Bintulu.
Langkah ini bagi meninjau secara dekat perkembangan infrastruktur fizikal serta mempengerusikan mesyuarat penyelarasan akhir bersama agensi pelaksana dan jawatankuasa induk program berskala besar tersebut.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menegaskan bahawa komitmen padu serta sinergi dinamik antara agensi kerajaan merupakan tunjang utama bagi menjamin kelancaran program yang berpaksikan agenda komuniti, kebudayaan, dan keusahawanan rakyat ini.
Rombongan kerja berkenaan turut meninjau fasiliti di Pantai Tanjung Batu yang menjadi antara lokasi pengisian program. Lawatan tersebut dihadiri barisan pengurusan tertinggi negeri termasuk Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua; Residen Bahagian Bintulu, Datu Nyurak Keti; dan Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali.
Sumber: Unit Komunikasi Awam Sarawak
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #SarawakkuSayang2026 #SKSBintulu #UKAS
Back