MIRI - Pihak Polis Daerah Miri berjaya menahan seorang lelaki tempatan selepas dikesan menceroboh kawasan sebuah pencawang telekomunikasi di tepi Jalan Miri - Bintulu, Batu Niah, Sabtu malam.
Menurut kenyataan di Facebook rasmi Polis Daerah Miri, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.00 malam pada 16 Mei itu, suspek bertindak memotong pagar dawai sekeliling pencawang tersebut untuk menyusup masuk.
Walau bagaimanapun, tindakan mencurigakan itu disedari oleh pengadu yang kebetulan sedang melakukan rondaan pemeriksaan berkala di lokasi berkenaan. Pengadu kemudiannya bertindak berani mengepung dan menahan suspek sebelum menyerahkannya kepada pihak polis yang bergegas ke tempat kejadian.
Hasil pemeriksaan fizikal lanjut, pihak polis menemui seunit alat pemotong besi (bolt cutter) serta sebilah pedang samurai yang berada dalam milikan suspek.
Polis turut menyita sebuah motosikal yang digunakan oleh suspek dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan.
Suspek kini dikenakan perintah tahanan reman selama tiga hari sehingga 20 Mei ini, dan kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan atas kesalahan pencerobohan jenayah.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #IPDMiri #CegahJenayah
Back