MIRI - Pihak Polis Daerah Miri berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun selepas dikesan menceroboh masuk ke dalam kawasan pagar dua buah rumah bersebelahan di Taman Desa Seri, Pujut, pada 16 Mei lalu.
Menurut hantaran di Facebook rasmi Polis Daerah Miri, dalam kejadian yang berlaku awal pagi Sabtu itu, aksi suspek yang memanjat pagar hadapan sebuah rumah berjaya dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Menyedari tindakan mencurigakan itu, pengawal keselamatan yang sedang bertugas di kawasan perumahan berkenaan bertindak pantas mengepung dan memberkas suspek di lokasi kejadian. Suspek dilaporkan tidak sempat melarikan sebarang barang berharga milik penghuni rumah.
Siasatan awal pihak polis mendedahkan warga emas berkenaan turut menceroboh sebuah lagi rumah yang terletak bersebelahan sebelum ditangkap.
Pihak polis turut merampas sepasang pakaian dan topeng muka yang digunakan oleh suspek sebagai bahan bukti.
Suspek kini ditahan reman selama tiga hari sehingga 20 Mei ini, dan kes sedang disiasat lanjut di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan jenayah.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #IPDMiri #InfoJenayahSarawak
Back