KOTA SAMARAHAN - Seorang pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) berusia 20 tahun dilaporkan maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam satu kemalangan tragis bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 22, Jalan Kota Samarahan–Asajaya, Ahad petang 17 Mei.
Pemangku Ketua Polis Daerah Samarahan, DSP Superintenden Barry William, mengesahkan insiden tersebut berlaku kira-kira jam 4.00 petang.
Siasatan awal pihak polis mendapati sebuah lori sedang bergerak dari arah Sebuyau menuju ke Kampung Endap sebelum motosikal yang ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan berat berkenaan.
Akibat impak pertembungan yang kuat itu, mangsa yang berasal dari Sadong Jaya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Pemandu lori bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk proses bedah siasat, dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PanduCermatJiwaSelamat #PDRMSamarahan #TragediJalanRaya
Back