KUCHING - Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) bercadang untuk mengembalikan tiga laluan domestik untuk dikendalikan oleh AirBorneo.
Laluan-laluan tersebut melibatkan laluan Kuching–Sibu–Kuching, Kuching–Bintulu–Kuching dan Kuching–Miri–Kuching.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan bagi mengembalikan semula tiga laluan berkenaan.
Menurut beliau, di bawah perjanjian semasa Perkhidmatan Obligasi Awam (RAS), sebarang perubahan laluan penerbangan perlu mendapat kelulusan Kementerian Pengangkutan Malaysia serta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkenaan dapat mempertimbangkan untuk mengembalikan semula tiga laluan tersebut di bawah skim RAS, bagi melengkapkan perkhidmatan sedia ada yang turut dikendalikan oleh AirAsia.
Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa jumlah pesawat AirBorneo masih terhad, namun menyatakan sekurang-kurangnya syarikat penerbangan itu dapat memulakan semula operasi di laluan berkenaan.
Jelas beliau, AirBorneo masih berada pada peringkat awal pembangunan dan banyak perkara masih dalam proses perancangan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi penggulungan kementeriannya sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back