KUCHING - Pihak Polis Kontinjen Sarawak mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap seorang Ketua Polis Daerah (KPD) di negeri ini berhubung dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap seorang anggota wanita bawahannya.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah, mengesahkan penerimaan laporan tersebut namun menegaskan bahawa perkara itu buat masa ini masih di peringkat dakwaan awal.
Katanya, pihak polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh dan terperinci bagi meneliti kebenaran laporan yang dikemukakan oleh mangsa.
"Itu dakwaan sahaja, belum tentu betul. Kita siasat dulu," jelas beliau ketika dihubungi BERNAMA hari ini.
Kes tersebut kini dikendalikan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.
Terdahulu, mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang sama tampil membuat laporan polis mendakwa dirinya diganggu oleh pegawai kanan terbabit, di mana kejadian didakwa berlaku di persekitaran tempat kerja serta kediaman rasmi pegawai berkenaan.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #PDRMSarawak #IntegritiPDRM #Bernama
Back