KUCHING - Pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) Sarawak akan diperluaskan kepada subjek Sains Komputer dan Reka Bentuk, yang akan diajar sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris bermula tahun 2029.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, perkara itu telah dipersetujui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui penglibatan berterusan di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut beliau, kohort pertama pelajar DLP Sarawak yang kini berada di Tingkatan 1 akan memasuki Tingkatan 4 pada tahun 2029, iaitu tahun pelaksanaan subjek-subjek itu dalam Bahasa Inggeris.
Beliau berkata, kementeriannya kini bekerjasama rapat dengan KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), bagi memastikan kesiapsiagaan pelaksanaan, termasuk latihan guru serta mekanisme sokongan di sekolah.
Jelasnya, usaha tersebut bertujuan menyokong pengukuhan pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sarawak, selaras dengan keperluan pembelajaran serta perkembangan industri semasa.
Sementara itu, bagi subjek lain di bawah program tersebut, beliau memaklumkan ia masih kekal seperti sedia ada, antaranya subjek Sains Tulen seperti Biologi, Fizik dan Kimia, serta Matematik dan Bahasa Inggeris.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile
Back