MUKAH - Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah berjaya menumpaskan aktiviti perjudian loteri awam tanpa lesen susulan penahanan seorang lelaki tempatan di kawasan Balingian, Sabtu petang 16 Mei.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias dalam satu kenyataan mengesahkan suspek yang berusia 23 tahun itu ditahan kira-kira jam 4.30 petang dalam satu serbuan di sebuah kedai tidak bernombor di kawasan Sungai Liuk, Balingian.
Katanya, hasil pemeriksaan rapi di kaunter premis tersebut, polis menjumpai sebuah telefon pintar yang dilengkapi aplikasi dipercayai digunakan untuk urusan jual beli loteri haram.
Selain telefon pintar, pihak polis turut merampas sebuah mesin pencetak mini, sekeping kertas putih bercetak nombor empat angka, sebatang pen, sebuah kalkulator, serta wang tunai berjumlah RM78.00.
Suspek yang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah itu didapati negatif dalam ujian saringan air kencing.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM20,000 sehingga RM200,000, atau hukuman penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #IPDMukah #BanterasJudiHaram #InfoJenayahSarawak
Back