KUCHING - Dua orang peniaga mengalami kecederaan ringan selepas sebuah kereta jenis Perodua Bezza merempuh premis perniagaan Rock City Cafe di sini, dalam satu kejadian Sabtu pagi 16 Mei.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian berlaku kira-kira jam 10.50 pagi. Insiden bermula apabila pemandu kenderaan tersebut, seorang lelaki tempatan berusia 84 tahun, sedang cuba mengundurkan keretanya untuk keluar dari petak parkir di hadapan premis berkenaan.
Bagaimanapun, warga emas itu dipercayai tertekan pedal minyak secara tidak sengaja sehingga menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan lalu meluru ke dalam premis. Rempuhan itu memusnahkan peralatan dapur milik vendor serta mencederakan dua peniaga yang berada di lokasi, iaitu seorang lelaki berusia 68 tahun dan wanita berusia 62 tahun.
Kedua-dua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan kini dilaporkan stabil selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes kini disiasat di bawah Rule 10 LN166/59 (Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959).
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #IPDKuching #InfoSarawak #PanduCermat
Back