KUALA LUMPUR - Umat Islam di seluruh Malaysia bakal menyambut Hari Raya Aidiladha pada hari Rabu, 27 Mei ini, demikian diumumkan oleh Pemangku Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Muhammad Affendi Jalaludin, malam tadi.
Menurut pengumuman rasmi yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), beliau turut mengisytiharkan tarikh 1 Zulhijah 1447H jatuh pada hari esok, Isnin, 18 Mei 2026.
"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dengan ini mengisytiharkan 1 Zulhijah 1447H ialah pada 18 Mei 2026 Masihi," katanya.
Dengan perisytiharan tersebut, tarikh 10 Zulhijah yang merupakan hari kebesaran Aidiladha bagi seluruh negeri di Malaysia ditetapkan secara rasmi pada 27 Mei.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #Aidiladha2026 #RayaHaji #MajlisRajaRaja
Back