LONDON - Jaringan sensasi Antoine Semenyo pada separuh masa kedua memastikan Manchester City menjulang trofi Piala FA selepas menewaskan Chelsea 1-0 dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Wembley, semalam.
Kemenangan ini sekali gus menghidupkan peluang skuad kendalian Pep Guardiola untuk memburu kejuaraan treble domestik bagi musim ini.
Gaya permainan bertahan yang berdisiplin tinggi oleh Chelsea nyata menyukarkan jentera serangan City pada awal perlawanan.
Bagaimanapun, benteng kental The Blues akhirnya roboh pada minit ke-72 menerusi tindakan luar dugaan Semenyo, yang meloloskan bola di antara dua kakinya sebelum melepaskan rembatan kaki kanan yang menewaskan penjaga gol, Robert Sanchez.
Chelsea, yang dibimbing oleh pengurus interim Calum McFarlane, hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan Enzo Fernandez, namun percubaan tersebut sedikit tersasar.
Kejayaan ini merupakan trofi domestik kedua City musim ini selepas memenangi Piala Liga pada Mac lalu.
Fokus City kini beralih kepada saingan Liga Perdana Inggeris menentang Bournemouth pada Selasa ini bagi melengkapkan misi pemburuan treble.
Sumber: BERNAMA-PA MEDIA/dpa
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #FACupFinal #ManchesterCity #ChelseaFC
Back