JOHOR BAHRU - Kerajaan MADANI berjaya melakar rekod baharu dalam sejarah negara apabila menyelesaikan sembilan perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam tempoh hanya tiga tahun pentadbiran.
Pencapaian ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan tuntutan yang telah diselesaikan kini mencecah 13 perkara daripada 29 tuntutan asas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Mustapha Sakmud, menyatakan bahawa momentum ini jauh mengatasi rekod pentadbiran terdahulu yang hanya menyelesaikan empat perkara dalam tempoh yang lebih lama.
Beliau menegaskan kejayaan ini adalah hasil perundingan erat antara tiga wilayah penting melibatkan kehadiran Perdana Menteri, Premier Sarawak, serta Ketua Menteri Sabah.
Antara kejayaan utama yang digariskan termasuklah pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak sebagai jabatan teknikal, pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk kemasukan wakil wilayah, serta pemerkasaan badan kehakiman Borneo.
Selain itu, peruntukan khas interim turut melonjak ketara kepada RM600 juta bagi setiap wilayah berbanding RM125.6 juta pada tahun 2022.
Sumber: BERNAMA
#BilikBeritaCATS #CATSFM #Umobile #MA63 #KerajaanMadani #SabahSarawak #AutonomiBorneo #KonvensyenPH2026
Back